Thursday, 30 May 2013

Istanbul Kami Datang -2

Kira-kira jam 8 pagi, bas kami tiba di jeti feri - untuk seberangi Selat Bhosporus. Jihan, pemandu pelancong kami kata guna feri boleh jimatkan sekitar 2 jam masa perjalanan ke destinasi pertama - Bursa.

Menunggu hampir 30 minit, giliran bas kami menaiki feri. Penumpang digalakkan turun dari bas dan menikmati perjalanan feri selama 45 minit tersebut di atas dek feri. Dalam kedinginan, kami semua turun dari bas dan berada diatas dek feri, menikmati perjalanan seberangi Selat Bhosporus sambil di iringi oleh camar yang mencari makanan yang di lontarkan oleh penumpang feri. Keindahan pemandangan dan suasana tersebut adalah yang pertama bagi saya dan isteri.

Di atas feri menyeberangi Selat Bhosporus
Ada juga penumpang yang tidak melepaskan peluang menikmati keenakan Turkish Coffee diatas feri. Aroma bau nya memang begitu enak dan segar. Oleh kerana saya belum lagi membuat pertukaran matawang Lira Turki, maka pagi itu lepaslah peluang kami menikmatinya.

Tiba di seberang, bas kami terus meluncur dengan begitu berhemah. kebetulan pula jalanraya tidak begitu sibuk kerana cuti hari Sabtu. Dari jeti, kami melalui beberapa kawasan perindustrian utama Turki di Istanbul. Apa yang menarik perhataian saya ialah, walaupun ianya kawasan industri, namun hamper seluruh tanah lapang diantara kilang-kilang ini dipenuhi dengan tanaman seakan rumput - lobak bit, untuk industri gula.

Jam 12.00 tengahari bas kami tiba di Bursa, kami terus dibawa ke sebuah restoran yang telah mengalami proses conservation , menghidangkan menu utama Turkiye. Suatu yang saya lihat ialah, semua pekerja - chef dan pelayan, pengurusnya semua adalah lelaki.

Set makan tengahari pertama kami di Bursa, Turkiye.
 


Selepas makan, kami dibawa ke destinasi lawatan pertama - Masjid Hijau, dan Silk House yang terletak bersebelahan. Masjid Hijau mempunyai senibina dan teknologi kejuruteraan yang sophisticated. Walaupun dibina sekitar tahun Masihi 1400, ia mempunyai pengukur gempa bumi secara built-in dengan tiang utama masjid, dan ianya masih berfungsi sehingga hari ini. Beberapa sahabat sempat bergambar bersama alat tersebut.

Silk House bagi saya tidak ubah seperti Pasar Seni Kuala Lumpur, menjual pelbagai kraftangan rakyat Turkiye. Saya dan isteri mengambil kesempatan lawatan petang itu untuk menikmati Turkish Coffee kami yang pertama, disebuah cafĂ©. Kira-kira jam 5 petang, bas terus membawa kami untuk mendaftar masuk ke Hotel Burcaman. Makan malam disediakan jam 6.30 ptg. Oleh kerana kepenatan, tiada rehat sejak dari KL lagi, maka malam itu kami tidak turun hotel atau meninjau persekitarannya - kami rehat sepenuhnya, menutupi hari pertama kami di tanah Turkiye.


-bersambung di posting selanjutnya-



Monday, 27 May 2013

Istanbul Kami Datang !

Setelah sekian lama kami mendirikan rumahtangga, timbul pula keinginan untuk melancong bersama - makan angin kata orang sekarang kan. maka saya pun memulakan beberapa pencarian dari sumber Web dan juga dari iklan eletronik. Akhirnya destinasi pilihan ialah Negara Turki.
 
Pada asalnya ingin kesana pada bulan Februari 2013 lalu, akan tetapi bila hubungi agensi pelancongan ni, katanya telah tutup permohonan. Alasannya ialah urusan visa dan tempahan disana perlu sekurang-kurangnya sebulan lebih awal. Maka tunggulah trip selanjutnya. maka kami memilih perjalanan pada April 2013 lalu.
 
Pengembaraan selama 10H 7M merentasi Negara Turki bermula dari 19 -28 April 2013. perjalanan bermula dari rumah kami di Klang jam 6 ptg, menaiki komuter ke KL Sentral. Solat maghrib di KL Sentral dan meneruskan perjalanan ke KLIA dengan ERL jam 7.45 malam. Tiba di KLIA jam 9 malam. Telah terdapat beberapa orang lagi ahli rombongan telah tiba bersama keluarga yang menemani ke KLIA. jadual penerbangan MAS kami ialah jam 12.30 malam itu atau jam 00.30, hari Sabtu 20 April 2013. Penerbangan selama 11 jam terus ke Istanbul. malam itu kami dimaklumkan bahawa penerbangan adalah penuh. Terdapat juga kumpulan pelancong dari Malaysia dibawa oleh agensi pelancongan lain, kumpulan pelancong dari Jepun transit di KLIA dan kumpulan rakyat Turki yang kembali kenegara mereka setelah melancong di Malaysia ini.
 
Tiba jam 6.30 pagi waktu Istanbul ( 11.30 pagi di KL, perbezaan waktu 5 jam). Didalam bangunan tidak terasa apa-apa lagi, masih rasa seperti di negara kita, tetapi bila keluar bangunan untuk naik bas -- terasa sangat dingin -- inilah Istanbul dimusim Spring --suhu disekitar 5-10 Celcius.
Dari Ataturk Havalimani menju ke jeti seberangi Selat Bhosporus untuk ke Bursa
 
Bas khusus untuk pelancong, Mercedes Benz putih yang seragam untuk industri pelancongan Turki, nyata selesa, meluncur meninggalkan Ataturk Havalimani merentasi Istanbul menuju ke jeti untuk seberangi Selat Bhosporus --kedestinasi pertama iaitu bandar Bursa.

bersambung di postings selanjutnya >>