Tuesday, 7 June 2011

Berlebihan teknologi dan diet teknologi

Pembaca yang budiman,

Assalamualaikum,

Kemana sahaja kita pergi hari ini kita akan jumpa begitu ramai manusia yang tidak lekang daripada menggunakan teknologi komunikasi. Sepanjang masa manusia memerlukan teknologi maklumat ini didalam kehidupan mereka. Seolah-olahnya serba tidak kena dan tidak lengkap kehidupan tanpanya.

Bangun pagi dikejutkan oleh 'alarm' dari Blackberry. Membaca surat secara eletronik dari Blackberry. Melihat tarikh, masa dan tempat temujanji dari Blackberry. Pergi kelokasi temujanji berpandukan GPS dari Blackberry. Merakam taklimat dari temujanji tadi dengan Blackberry. Entah apa-apa lagi dengan Blackberry hinggalah saat-saat akhir sebelum melelapkan mata pun perlu 'set alarm' Blackberry.

Kita terlebih sibuk dengan adanya Blackberry yang sepatutnya meringkas. Penulis Barat menyebut ia sebagai 'technology overload'. Teknologi yang menentukan kagiatan manusia dimana sepatutnya teknologi hanyalah alat sampingan. Tiada apa yang salah disini. Tetapi bagi manusia yang sentiasa bergantung kepada alat ini, maka sudah pastinya ia akan merasakan tempang bilamana alat teknologi tersebut gagal berfungsi.

Apakah pemahaman anda bila melihat seseorang yang duduk disebelah anda didalam komuter, bas atau dibangku rehat, tekun dengan iPad atau dengan komputer ribanya? Ia tak mahu berbual dengan anda? Tahap kesediaan bersosial orang itu boleh dikatakan lebih rendah berbanding tahap keinginannya bersosial. Mungkin juga orang itu terlalu sibuk hingga tiada masa untuk meluaskan silaturrahim. Bagi saya, teknologi maklumat seharusnya digunakan sebagai alat penambahbaikan dan bukannya sebagai penentu kahidupan. Pendapat saya ini pastinya berbeza dengan pembaca lain terutamnya dari generasi yang lebih muda, yang lahir dalam suasana teknologi maklumat.

Saya pernah berbual dengan seorang profesor dari sebuah universiti tempatan dalam satu perjumpaan. Saya mohon dapatkan nombor telefon bimbitnya namun profesor tersebut tidak menggunakan sebarang telefon bimbit. Ia lebih selesa dengan telefon talian dipejabat atau dirumah.

Dalam pembacaan saya berkaitan berlebihan teknologi ini, saya juga berjumpa dengan satu lagi istilah yang agak menarik iaitu 'diet teknologi'. Saya pasti ramai pembaca tentu boleh memahami maksud istilah ini. Oleh kerana teknologi maklumat seperti telefon bimbit, PDA, iPad dan sebagainya ini boleh menyebabkan pengguna menjadi ketagih, maka wajarlah pengguna tersebut mengatur sendiri diet teknologi dalam kehidupannya. Berpada-pada lah dalam menggunakan alat komunikasi itu, bukannya berlebihan. Suatu senario yang agak melucukan saya lihat baru-baru ini. Seorang lelaki berdiri dipembahagi jalan disebelah tiang lampu isyarat sambil tangannya menghayun kesana-sini dan bercakap seorang diri. Anak saya kata orang gila lah itu. Ya lah jawab saya. Apabila membelok kekanan, barulah saya terlihat wayar 'earbuds' dari poket terus ketelinganya. Anda pun tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Bagi sebahagian pembaca, 'technology overload' dan 'technology diet' ini adalah tiada apa-apa dalam kehidupan mereka. Namun bagi saya, yang sentiasa berhadapan dengan puluhan dan ratusan pelajar setiap hari, ianya menjadi suatu tajuk yang menarik untuk saya terokai sambil saya menjalankan tugas.

Sekian.

No comments:

Post a Comment