Nevsehir ke Ankara.. dan ke Bolu
Dua malam menginap di Dinler Hotel tidak terasa , kini kami bersiap untuk perjalanan agak jauh, iaitu ke Ankara, ibu negara Turkiye. Selepas sarapan, jam 7.30 pagi kami sudah menaiki bas meninggalkan Dinler Hotel. Kumpulan pelancong German yang bersama kami disini, bersiap untuk menaiki belon udara panas.Bas mula meluncur merentasi tanah ladang dari Nevsehir menuju lebuhraya utama. Lanskap negara ini memang mengasyikkan saya, terutamanya saya memang sangat senang dengan kehidupan luar bandar, kehidupan petani dengan ladang mereka. Masyarakat luar bandar juga adalah mesra pelancong, melambai kami bilamana bas dipandu perlahan melewati penduduk yang rehat dibawah pokok sambil minum kopi. Dua jam perjalanan, kami singgah disebuah 'caravan'. Kami dimaklumkan bahawa tempat persinggahan ini adalah salah satu tempat persinggahan sebenar pedagang Eropah dalam perjalanan mereka melalui laluan sutera menuju ke negara Cina ratusan tahun lalu.
| singgah sebentar di 'caravan' dalam laluan sutera Eropah ke Cina |
Selepas rehat dan ambil angin kira-kira 30 minit, bas bergerak lagi. Terbentang luas dikiri dan kanan jalan ialah ladang pertanian yang dipenuhi tanaman lobak bit, anggur dan cherry. Allahuakbar - cantiknya pemandangan disini. hati saya memang terpaut dengan bahagian tengah Turkiye ini.
Jam 12 tengahari perut mulai terasa lapar. Bas berhenti disebuah restoran berdekatan bandar Aksaray. Pada pengamatan saya, restoran ini memang dikujungi oleh pelancong sahaja kerana ia benar-benar berada ditengah perjalanan yang dipenuhi ladang. Ia bukanlah disekitar kawasan kediaman. Ia mengingatkan saya ketika berhenti makan di Merapoh, dalam perjalanan dari Machang ke KL.
Di restoran ini kami berjumpa kumpulan pelancong Cina dari Palembang Sumatera. menu seperti sebelumnya, ada salad sayuran, daging yang dimasak tumis dan dimakan dengan roti, dan buah limau sebagai pencuci mulut. Selera makan sudah mula kurang kerana cara masakan agak berbeza dengan cara kita. Ramai diantara kami telah mula menyebut sedapnya jika dapat nasi dengan asam pedas, ulam dan ikan masin. Apa pun saya dan isteri makan untuk jaga keperluan diri.
Selepas makan bas terus bergerak menuju Ankara. tempat yang ditujui ialah tugu peringatan Mustapha Kamal Ataturk. Jam 3 petang kami tiba di Ankara dan terus menuju ketugu ini. Kawasan tugu peringatan ini terletak diatas bukit dan menjadi tempat lawatan utama hampir semua pelancong ke Turkiye. Isteri saya sempat berbisik katanya tugu negara di KL pun dia tak pernah tengok, ini dah sampai tugu negara Turkiye.
| Jihan memberi taklimat ringkas sebelum kami memasuki bangunan muzium. |
| Muzium yang menempatkan segala bahan sejarah Ataturk |
Meninggalkan Ankara dan muzium ini, bas menuju ke Bolu, sebuah bandar kecil kira-kira 1 jam perjalanan. Bolu adalah kawasan berbukit bukau, banyak pokok pain dikawasan ini. Di Bolu juga terdapat sebuah resort yang menyediakan kemudahan pelancongan untuk bermain ski, tetapi perlulah menunggu musim sejuk jika mahu main ski.
Hotel penginapan kami malam ini ialah Koru Hotel, bertaraf 4 bintang tetapi lebih berkonsepkan sebuah resort. Dikelilingi pokok pain, kawasan ini lebih sejuk berbanding Ankara.
| Koru Hotel, penginapan kami di Bolu |
Esok, selepas sarapan kami akan bergerak lagi >>> Istanbul.
No comments:
Post a Comment